MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
Pasir Gudang

‘Kau jangan pulang rumah’

VIDYANANTHAN (dua dari kanan) bertanya sesuatu kepada Sanker, semalam.


 

Pasir Gudang: “Selepas menjalani pembedahan memotong jari kaki kiri di Hospital Sultan Ismail (HSI), Pandan, ahli keluarga datang melawat dan meminta saya tidak pulang ke rumah kerana berdepan kesulitan untuk menjaga saya,” kata P Sanker, 38, ketika ditemui di rumah rakannya di Taman Kota Masai, Masai, dekat sini, semalam.

Dia yang menjalani pembedahan memotong jari kaki kiri, 11 Disember lalu akibat diabetes kini menumpang di rumah rakannya selepas dibenarkan keluar dari HSI, bulan lalu.

Bagaimanapun, Sanker tidak menyalahkan keluarganya kerana dia faham dengan masalah yang dihadapi mereka.

“Saya faham mereka bukan mahu melepaskan tanggungjawab, tetapi memandangkan isteri bekerja di Singapura manakala semua lapan anak kami masih belajar, pasti sulit untuk menjaga saya.

“Isteri berusia 35 tahun dan anak pula berumur tujuh hingga 16 tahun.

Mereka tinggal di Permas Jaya dan banyak kos diperlukan untuk menampung belanja persekolahan dan harian,” katanya.

Menurutnya, dia bernasib baik apabila rakannya yang bekerja sebagai pengumpul besi buruk bersimpati dengan nasibnya dan menawarkan sebuah bilik di kediaman keluarganya.

“Saya memerlukan RM10 sebagai tambang teksi untuk mendapatkan rawatan susulan di Klinik Rakyat 1Malaysia hampir setiap hari di Taman Kota Masai, dekat sini.

“Malah, saya juga bergantung kepada ihsan rakan bagi mendapatkan bantuan makanan.

“Rakan saya bukan orang senang dan kami kerap terputus bekalan makanan,” katanya.

Menurut Sanker yang sebelum ini bekerja sebagai pengawal keselamatan, dia gembira kerana rakannya itu banyak membantu meringankan bebannya, tetapi dia tidak mahu menyusahkan lelaki berkenaan selamanya.

“Sejak Januari lalu, saya tidak mampu bekerja kerana keadaan luka di kaki bertambah buruk.

“Selepas pembedahan, saya tidak boleh berjalan menyebabkan saya kehilangan pekerjaan,” katanya.

Dia berharap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dapat memberinya perlindungan sehingga lukanya sembuh.

“Saya mahu bekerja semula bagi menyara keluarga dan mengurus perbelanjaan diri,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia dan Perpaduan Johor R Vidyananthan yang melawat Sanker di rumah rakannya itu berkata, pihaknya akan menyediakan bantuan sesuai kepada lelaki berkenaan secepat mungkin.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Source Mymetro

Nearby Location

Places of Interest
Name Distance Direction
Puteri Harbour Show Direction
Desaru Ostrich Farm Show Direction