MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
Pasir Gudang

Ambil kira keperluan penduduk

PASIR GUDANG – Kerajaan negeri setuju membatalkan projek pembangunan yang menempatkan sebuah Tadika dan Kompleks Penghulu di Kampung Sepakat, Masai, di sini setelah  mengambil kira keperluan penduduk setempat.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled berkata, pihaknya akan mengarahkan pemilik tanah, YPJ Holdings Sdn Bhd untuk membatalkan projek telah dirancang dan digantikan dengan pembangunan lain.

Menurutnya, jenis projek yang bakal digantikan masih belum diputuskan, namun ia adalah berbentuk inklusif selain memberi manfaat, sekali gus mampu menyelesaikan masalah rakyat.

“Walaupun belum ada kata putus mengenai pembangunan yang bakal digantikan, kita bercadang membina projek yang membantu penduduk memiliki kediaman sendiri melalui pembinaan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ).

“Kita akui terpaksa menolak 34 permohonan pemilikan tanah di Kampung Sepakat disebabkan kawasan berkenaan berada atas rizab jalan, justeru dengan adanya pembinaan RMMJ di perkampungan ini dapat membantu penduduk memperoleh kediaman,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Majlis Penyampaian Hak Milik kepada penduduk Kampung Sepakat dan Kampung Baru Masai, malam kelmarin.  Hadir sama, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Normala Abdul Samad.

Mohamed Khaled berkata, pihaknya menerima 91 permohonan daripada penduduk Kampung Sepakat, bagaimanapun hanya 57 permohonan diluluskan.

"Daripada jumlah itu, seramai 34 pemohon berjaya melangsaikan bayaran premium tanah kepada Kerajaan Negeri.

“Bagi pemohon dari Kampung Baru Masai pula, kita terima 62 permohonan, bagaimanapun hanya 29 diluluskan, selebihnya ditolak atas sebab mereka mempunyai tanah di kawasan lain.

"Setakat ini, seramai 17 daripada 29 pemohon yang lulus dari Kampung Baru Masai telah membuat pembayaran penuh," katanya.

Tambahnya, pemohon disyorkan menggunakan nama waris mereka untuk permohonan tanah terbabit.

"Pihak kerajaan negeri tiada masalah jika mereka menggunakan nama lain untuk tujuan berkenaan.

"Kita turut memberikan pemohon diskaun bagi bayaran premium kerajaan negeri, selain itu pemohon diberi kelonggaran membuat bayaran secara ansuran," katanya.

Beliau mengingatkan penduduk yang telah memiliki hak milik tanah supaya tidak menjualnya kepada pihak lain, dan menggunakan tanah berkenaan untuk tujuan bermanfaat seperti membina kediaman sendiri.

Sumber:Sinar Harian

Nearby Location

Places of Interest
Name Distance Direction
Puteri Harbour Show Direction
Desaru Ostrich Farm Show Direction