MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
Pasir Gudang

Cadang skim sewa beli rumah flat

PASIR GUDANG - Kerajaan negeri mempertimbangkan untuk memperkenalkan skim sewa dan beli kepada penduduk rumah flat di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Mohamed Khaled Nordin berkata, cadangan berkenaan sedang diperhalusi sebelum pelaksanaannya dapat dimuktamadkan.

Menurutnya, tinjauan dan bancian tentang perkara ini membabitkan penduduk yang terlibat juga akan dilaksanakan untuk mendapatkan respons serta sokongan sama ada ianya diterima atau sebaliknya.

“Kita akan buat tinjauan serta bancian tentang cadangan perkara ini sama ada ia diterima dan disokong oleh semua penduduk atau sebaliknya dan dapatkan maklumat daripada mereka.

“Ia juga sesuatu yang dihasrat semua dan kita akan terus memperhalus cadangan ini untuk perkenalkan skim sewa dan beli ini,” katanya di Majlis Penyerahan Buku Akaun Tabung Haji, Taklimat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pasir Gudang dan Taklimat Bantuan Zakat (Jejak Asnaf) di Taman Cendana, di sini, kelmarin.

Hadir sama, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Normala Abdul Samad; Pengarah Tabung Haji negeri, Mohd Nasir Mohd Yusoff dan Penolong Akauntan Majlis Agama Islam Johor, Jufri Ahmad.

Pada program berkenaan seramai 1, 152 penduduk Taman Cendana menerima buku akaun Tabung Haji masing-masing dan 10 penduduk kawasan itu yang terdiri daripada golongan kurang berkemampuan menerima bantuan zakat.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled meminta supaya penyewa rumah pangsa menjelaskan kadar sewa yang dikenakan setiap bulan supaya tiada bayaran tunggakan yang akhirnya memberi kesan kepada Laporan Audit Negara.

“Setiap kali kerajaan gagal mengutip bayaran sewa daripada para penyewa menyebabkan kerajaan negeri terpaksa menanggung tunggakan itu dan ini memberi impak dalam Laporan Audit Negara,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Taman Cendana adalah salah satu kawasan yang diberi tumpuan dan fokus utama berikutan kedudukannya yang terletak di tengah bandar Pasir Gudang supaya semua penduduk menerima manfaat daripada pembangunan yang dilaksanakan.

Sumber:Sinar harian

Nearby Location

Places of Interest
Name Distance Direction
Puteri Harbour Show Direction
Desaru Ostrich Farm Show Direction