Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong berkata, rekod itu menandakan bahawa FLLSPG merupakan acara yang diiktiraf oleh peserta dari seluruh dunia.

Menurutnya, peningkatan penyertaan turut melibatkan peserta baharu dari beberapa negara seperti Poland, Romania, Liechtenstein, Scotland, Myanmar, Maghribi dan Mongolia.

“Rekod yang tercipta ini memberi impak yang baik kerana festival layang-layang ini merupakan suatu jenama antarabangsa yang membantu mempromosikan Malaysia, khususnya Johor di seluruh dunia.

“Sehubungan itu, saya berharap pihak berkuasa tempatan akan bertindak proaktif dalam memba ngunkan lagi industri layang-layang di Pasir Gudang,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Bukit Layang-Layang di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur FLLSPG ke-20, Md. Za’nal Misran yang juga Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) dan Presiden Majlis Pelayang Malaysia, A. Rahim Nin.

FLLSPG ke-20 berlangsung selama lima hari bermula semalam dan dijadual dirasmikan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada malam esok.

Pelbagai aktiviti menarik disediakan termasuk pertunjukan la-yang-layang oleh peserta tempatan dan antarabangsa, persembahan kawad kaki oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), persembahan artis dan Kebudayaan serta bengkel membuat layang-layang.

Rekod sebelum ini dipegang oleh festival layang-layang di Perancis yang mencatatkan penyertaan antarabangsa dari 45 buah negara.

Sementara itu, Md. Za’nal memberitahu, kejayaan mencipta rekod baharu itu menunjukkan tahap kematangan festival berkenaan selain kerjasama erat yang ditunjukkan oleh pihak penganjur festival.

“Industri layang-layang mempunyai pengikut tersendiri dan FLLSPG merupakan festival yang besar dan pasti akan disertai mereka saban tahun.

“Saya yakin dengan penambahbaikan infrastruktur dan pelbagai kemudahan lain, pasti festival ini akan dapat menarik minat lebih ramai peserta di peringkat domestik dan antarabangsa,” katanya.

Sumber:Utusan malaysia