MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Johor

Skandal hartanah Johor: Suspek disyaki tukar status rumah Bumiputera

Enam lelaki termasuk anak serta pegawai khas seorang penjawat awam Johor yang ditahan semalam kerana disyaki terlibat rasuah dan penyelewengan hartanah di negeri itu, dipercayai terbabit dalam penukaran status rumah Bumiputera kepada bukan Bumiputera.

Menurut sumber, aktiviti penukaran status itu dipercayai dibuat sejak 2013 yang melibatkan beberapa pemaju di Johor sehingga menyebabkan mereka yang layak mendapat rumah status Bumiputera tidak mampu membeli rumah.

“Penukaran status itu dilakukan kerana apabila rumah-rumah berstatus Bumiputera ditukar kepada bukan Bumiputera, harga sesebuah rumah itu akan meningkat beberapa kali ganda daripada harga asal.

“Ini sekaligus akan menguntungkan pihak pemaju dan mereka yang terlibat dalam aktiviti itu, tetapi yang terseksa adalah masyarakat yang ingin memiliki rumah sendiri,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sumber berkata, apabila penukaran status diluluskan dan dilaksanakan, mereka yang berstatus Bumiputera dan masyarakat berpendapatan rendah tidak mampu memiliki rumah sendiri.

Menurut sumber, modus operandi pemaju terbabit adalah menyorokkan hampir 30% kuota disediakan untuk pembeli Bumiputera daripada senarai dengan mendaftarkan nama pekerja mereka yang mempunyai status Bumiputera.

Katanya, pemaju akan membuat permohonan kepada kerajaan negeri untuk menukar rumah berstatus Bumiputera kepada bukan Bumiputera dengan alasan rumah itu tidak berjaya dijual.

“Walhal apabila ditanya pembeli, pemaju akan memberi alasan rumah-rumah berstatus Bumiputera sudah habis dijual.

“Menerusi maklumat yang dikumpul setakat ini, pemaju akan dikenakan denda pada kadar tertentu dan (wang denda) sepatutnya dimasukkan ke dalam satu tabung khusus yang diwujudkan untuk membiayai kemudahan di kawasan perumahan,” katanya.

Sumber itu berkata, hanya sebahagian daripada keseluruhan jumlah wang denda itu dimasukkan ke dalam tabung khusus itu, manakala bakinya disyaki diseleweng.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi Barnama mengesahkan pihaknya sedang menyiasat kewujudan penipuan dalam penukaran status Bumiputera kepada bukan Bumiputera.

“Ketika ini, SPRM masih dalam proses menggeledah pejabat suspek untuk mendapatkan dokumen-dokumen bagi membantu pasukan siasatan mengumpul lebih banyak maklumat berhubung penipuan tersebut.

“Saya tidak menolak kemungkinan lebih ramai lagi akan ditangkap berhubung siasatan kes ini,” katanya.

Semalam, dalam satu operasi serentak, SPRM menahan 6 lelaki berusia 25 hingga 50 tahun di beberapa lokasi di Johor Bahru. Turut ditahan ialah 2 pemaju, seorang peguam dan seorang orang awam yang dipercayai terlibat dalam skandal itu.

SPRM turut merampas 21 kereta mewah, 5 motosikal berkuasa tinggi, wang tunai kira-kira RM500,000 termasuk mata wang asing dan dokumen dipercayai dapat membantu siasatan.

Selain itu, sebanyak 45 akaun bank milik semua suspek melibatkan lebih kurang RM15.5 juta juga dibekukan bagi membantu siasatan.

- freemalaysiatoday

Nearby Location

Places of Interest
Name Distance Direction
Puteri Harbour Show Direction
Desaru Ostrich Farm Show Direction