MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Johor

Mahkamah: Kerajaan gagal bela Orang Seletar

Mahkamah Tinggi Johor Bahru memutuskan kerajaan negeri dan persekutuan melanggar tanggungjawab mereka berhubung perlindungan hak tanah adat Orang Seletar.

"Mahkamah mendapati kerajaan negeri telah melanggar kewajipan fidusiari mereka kepada Orang Seletar.

"Tugas fidusiari mereka terhadap masyarakat Orang Seletar adalah melindungi tanah mereka dengan mewartakan tanah yang diduduki tetapi (kerajaan negeri) gagal untuk berbuat demikian.

"Mahkamah juga mendapati bahawa kerajaan persekutuan melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA) telah melanggar tugas fidusiari mereka kepada masyarakat Orang Seletar juga, kerana tidak memastikan kerajaan negeri dilindungi tanah mereka," kata peguam S Yogeswaran kepada Malaysiakini hari ini.

Suku Seletar - kebanyakannya yang tinggal di selatan Johor - memfailkan saman ke atas kerajaan negeri dan 12 yang lain buat pertama kali pada 2012 selepas mendapati tanah adat mereka diceroboh.

Akan buat rayuan

Sebelum memfailkan saman itu, mereka juga telah menimbulkan masalah mereka kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), malah mengadakan bantahan di Dewan Undangan Negeri Johor pada 2011.

Saman itu difailkan berdasarkan tuntutan hak tanah adat bagi kawasan yang kini dikenali sebagai Danga Bay.

Kata Yogeswaran, mahkamah turut memutuskan Orang Seletar mempunyai hak bukan eksklusif untuk menggunakan perairan adat mereka bagi tujuan tradisional mereka serta untuk kehidupan.

Bagaimanapun, kata Yogeswaran, mahkamah mendapati pihak swasta yang kini memiliki tanah itu adalah "pembeli yang tidak bersalah".

Justeru tuntutan Orang Seletar supaya mereka mengembalikan tanah adat berkenaan ditolak.

"(Tetapi) dengan semua pelanggaran ini dan sebagainya, mahkamah kemudian berkata: Tengok, apa yang kita berikan kepada anda?

"Mahkamah memutuskan bahawa pada dasarnya mereka perlu diberi pampasan berdasarkan nilai pasaran bagi semua tanah-tanah yang telah diberi milik oleh kerajaan kepada pihak swasta," kata Yogeswaran.

Menurut peguam itu, Orang Seletar terbabit bercadang untuk membuat rayuan bagi mendapatkan perintah pampasan bagi menggantikan pemulangan tanah berkenaan.

- malaysiakini

Nearby Location

Places of Interest
Name Distance Direction
Puteri Harbour Show Direction
Desaru Ostrich Farm Show Direction