MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Johor

Nazri 'suka menyodok membabi buta', tak perlu dilayan - Ismail

Timbalan Ketua Umno Bahagian Pagoh Ismail Mohamed menyelar kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Nazri Aziz bahawa tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sejak kebelakangan ini ibarat ‘anjing yang sibuk menggigit kaki’ sehingga menyukarkan parti itu daripada melaksanakan tanggungjawabnya.

Sebaliknya Ismail mendakwa Nazri ''suka menyodok membabi buta" dan tidak perlu dilayan.
 
“Ramai yang tanya saya, mengapa timbalan ketua Umno bahagian Pagoh tidak membalas penghinaan Nazri terhadap Tan Sri Muhyuddin sebagai ketua bahagian Pagoh...
 
“Dalam hati saya berkata, kalau dah tabiat menyodok membabi buta (jadi) tak perlulah kita cakap apa-apa," katanya kepada Malaysiakini.
 
Justeru tegasnya, semua pihak di dalam parti Melayu itu perlu menjaga Umno dari pihak yang ingin menjahanamkannya.
 
Sebelum ini Nazri berkata Muhyiddin melakukan serang berterusan yang dianggap melampau terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga adalah presiden Umno.
 
Justeru, Nazri akan membawa cadangan kepada jawatankuasa disiplin parti pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) akan datang agar Muhyiddin digantung dari jawatannya sebagai timbalan presiden parti.
 
Sementara itu, Ismail turut membidas kenyataan Nazri bahawa pemimpin veteran Umno, Tan Sri Rafidah Aziz kini bukan sesiapa dan beliau bebas untuk bercakap memandangkan negara ini adalah sebuah negara demokrasi.
 
Kata Ismail, apabila seseorang pemimpin sudah tidak lagi mempunyai jawatan dalam parti, apabila bersuara, sudah tentu diperlekehkan.
 
“Sudah menjadi tabiat segelintir orang berjawatan dalam Umno atau kerajaan, bila orang yang sudah tidak ada kuasa bila bersuara tentunya diperlekehkan walaupun bekas pemimpin Umno ini berniat baik mengulas sesuatu isu,” katanya.
 
Semalam Nazri yang juga ahli parlimen Padang Rengas berkata sebelum ini Rafidah pernah tewas kepada Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pada pemilihan Wanita Umno sehingga menyebabkan suaranya tidak lagi didengar oleh akar umbi.
 
Nazri berkata demikian berikutan kenyataan bekas menteri Umno itu yang mengingatkan rakan-rakannya tentang kisah 'maharaja tanpa baju' selepas mereka mengkritiknya kerana menegur kelemahan pentadbiran kerajaan Najib.
 
- malaysiakini

Nearby Location

Places of Interest
Name Distance Direction
Puteri Harbour Show Direction
Desaru Ostrich Farm Show Direction