MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Johor

PKR Johor terkejut negeri mohon bantuan air dari Singapura

PKR Johor terkejut dengan tindakan kerajaan negeri meminta pertolongan kerajaan Singapura untuk menambah bekalan air terawat sebanyak 6 juta gelen sehari sejak Sabtu lalu.

Sedangkan berdasarkan Perjanjian Air Malaysia-Singapura 1962, kerajaan Malaysia melalui Johor perlu membekalkan 250 juta gelan air mentah sehari ke republik itu setiap hari.
 
Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah berkata ia jelas menunjukkan kelemahan sistem pengurusan air Johor dan loji rawatan air yang tidak mencukupi untuk memproses air terawat serta menampung bekalan air penduduk.
 
"Bukan sahaja rakyat Johor terpaksa membayar tarif air yang paling tinggi di Malaysia iaitu RM1.31 setiap meter padu malah kami juga sering menghadapi isu kekurangan air sehingga sebahagian rakyat di Selatan dan Timur Johor telah mengalami catuan air pada tahun lepas," katanya.
 
Justeru katanya, PKR memberikan beberapa cadangan kepada kerajaan negeri bagi mengatasi masalah itu dalam jangka masa panjang.
 
Antaranya bekerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi menubuhkan satu pusat khusus iaitu Pusat Pengurusan Bekalan Air dan Pengawalan Sumber Air dengan segera.
 
Selain itu, katanya, kerajaan negeri juga perlu mencari sumber alternatif seperti air bawah tanah dan memperketatkan penguatkuasaan undang-undang sedia ada bagi mencegah pencerobohan dan pencemaran kawasan tadahan air.
 
"Kerajaan Johor patut mengaku kelemahan sendiri dalam bidang pengurusan air dan perlu mencontohi negara jiran Singapura, Belanda dan Arab Saudi yang jauh lebih ke depan dan berilmu dalam bidang Pengurusan Air dan Pencarian Sumber Air," katanya yang juga Adun Bukit Batu.
 
Selasa lalu, kerajaan Johor mengalu-alukan keputusan Singapura menyalurkan bekalan air bersih tambahan sebanyak enam juta gelen sehari selama sebulan kepada negeri itu.
 
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata bagaimanapun bantuan itu tidak akan membuat kerajaan negeri berhenti dan berusaha mencari sumber air baru dan alternatif lain.
 
Beliau dilapor berkata, kerajaan negeri juga melihat langkah Singapura memberi bantuan itu adalah tindakan baik sebagai jiran kepada Johor.
 
- malaysiakini

 

Nearby Location

Places of Interest
Name Distance Direction
Puteri Harbour Show Direction
Desaru Ostrich Farm Show Direction