MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
Muar

About Muar

LATAR BELAKANG MUAR

Daerah Muar terletak di barat laut negeri Johor, Malaysia. Daerah Muar terdiri daripada bandar Muar itu sendiri dan juga daerah kecil Tangkak. Muar bersempadan dengan Melaka di utara, Segamat di timur dan Batu Pahat di selatan.  

Daerah Muar berkeluasan 2346.12 km persegi dengan penduduk seramai 328,695 orang (bancian 2000). Perkataan ‘Muar’ dipercayai berasal daripada Muara. Kemungkinan lain ialah ia berasal daripada perkataan hindu iaitu “Muna” dan ‘Ar” yang masing-masing bermaksud Tiga dan Sungai, menggambarkan kewujudan Sungai Muar yang mengalir melalui bandar ini dan juga merupakan sungai terpanjang di Johor.

Pusat pentadbiran baru yang dikenali sebagai Muar 2 sedang dirancang untuk dibina di Muar. Pusat pentadbiran baru tersebut akan menempatkan semua jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan dan dijangka terletak berhampiran dengan Muar Bypass di bandar Muar.

Geografi

Bandar Muar terletak pada 2 o3′N 102o34′E, di muara Sungai Muar. Bandar ini berada pada kedudukan 150 km (93 batu) ke barat daya ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur. Ia adalah 50 km ke utara Batu Pahat dan 179 km ke barat laut Singapura.

Sejarah

Muar adalah kaya dengan sejarah tetapi disebabkan ketiadaan catatan sejarah yang sempurna dan bukti-bukti arkeologi, kebanyakan sejarah silam Muar tidak diketahui. Dipercayai sejarah Muar telah bermula lebih awal daripada Empayar Melaka. Pada tahun 1361, terdapat catatan yang menyatakan Muar adalah sebahagian daripada wilayah empayar Majapahit. Catatan lain pula ada menyebut bahawa Parameswara,pengasas empayar Melaka, pernah menubuhkan penempatan di Pagoh, Ulu Muar selepas melarikan diri dari Temasik sebelum menuju ke Melaka.Muar juga adalah tempat terletaknya satu-satunya makam kesultanan Melaka iaitu Sultan Alauddin Riayat Shah 1 (1477-1488).Makam kesultanan Melaka yang lain telah dibinasakan dengan kejam oleh Portugis semasa penaklukan mereka ke atas Melaka. Muar turut memainkan peranan dalam mengekang kemaraan tentera Portugis pada tahun 1511. Bagi menangani serangan armada Portugis,Kubu Bentayan telah dibina oleh Sultan Melaka untuk mematahkan serangan dari arah laut.

Muar di era Portugis juga menempatkan sebuah kubu iaitu ‘Fortaleza de Muar’ bagi mempertahankan koloni Portugis daripada serangan Belanda dan Aceh.

Muar adalah bandar di-Raja di selatan Johor.Ia pernah menjadi sebuah Kerajaan merdeka dan berdaulat yang diperintah oleh Sultan Ali dalam masa yang singkat (1855 – 1877),apabila penguasaan negeri Johor (kecuali Muar) telah diserahkan kepada Dato' Temenggong Daing Ibrahim di bawah perjanjian di antara British di Singapura dan Sultan Ali. Sultan Ali adalah pewaris sebenar kesultanan Johor tetapi kelemahan beliau telah menyebabkan pemerintahan Johor dikuasai oleh Temenggong. Setelah beliau mangkat pada 1877, Muar akhirnya menjadi sebahagian daripada wilayah Johor. Muar turut dikenali sebagai Bandar Maharani, nama yang diberikan oleh Maharaja Abu Bakar pada 1884. Muar selama bertahun-tahun adalah bandar yang kedua terbesar di Johor tetapi kedudukan tersebut telah diambil alih oleh Batu Pahat. Namun demikian, Muar masih merupakan bandar kedua terpenting dari segi pentadbiran selepas ibu negeri Johor Bahru.

Kebudayaan

Muar adalah tempat lahirnya Ghazal, muzik tradisi warisan Johor yang mempunyai unsur-unsur Parsi. Kumpulan Ghazal terkenal ialah Seri Maharani Ghazal Parti pimpinan Ahmad Jusoh dan Fadhil Ahmad . Antara lagu terkenal kumpulan ini adalah "Dia Datang", "Puteri Ledang"

Salah satu daripada aliran silat yang telah berkembang di Muar ialah Silat Sendeng Malaysia yang telah diasaskan oleh Haji Abd Hamid bin Haji Hamzah di Sungai Mati, Muar, Johor.

Pertubuhan Kebajikan Wirid Khaujakan diasaskan oleh Tuan Guru Kiyai Haji Abdul Fadhil bin Abu Bakar Banten kemudian dipimpin oleh Tuan Guru Tuan Haji Othman Azahari di Madrasah Khaujakan di Kampung Batu 4, Simpang Jeram, Bakri, Muar dan kini di pimpin oleh Tuan Guru Ustaz Haji Ahmad bin Tunggal.

Penduduk Terkenal

  •     Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman
  •     Bekas Pengerusi Tetap UMNO, Tun Sulaiman Ninam Shah
  •     Bekas *Menteri Besar Johor, Tan Sri Othman Saat
  •     Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga bekas Menteri Besar Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin
  •     Bekas Menteri Kesihatan, Chua Jui Meng
  •     Penyanyi/Selibriti terkenal, Ramlah Ram, Nash, Zainal Abidin, Jaafar Onn ,Zainal Alam
  •     Pemain badminton Malaysia, Yap Kim Hock
  •     Presiden Singapura, Sellapan Ramanathan pernah tinggal di Muar di zaman kanak-kanak beliau.
     

 

Nearby Location

Places of Interest
Name Distance Direction
Puteri Harbour Show Direction
Desaru Ostrich Farm Show Direction