MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Johor

Promo Ad 2

 

LAMAN MERDEKA

Bandar raya Johor Bahru kini mempunyai satu lagi taman rekreasi dikenali sebagai Taman Merdeka Johor Bahru untuk kemudahan orang ramai bersantai dan melakukan pelbagai aktiviti sama ada bersama keluarga mahupun rakan-rakan.

Uniknya taman rekreasi tersebut dibina bertemakan kepada revolusi sejarah negara yang memaparkan keperitan, kepahitan dan penderitaan di negara ini yang diterjemahkan melalui sembilan laman kecil di Taman Merdeka Johor Bahru.

Ia terdiri daripada Laman Peringatan Kesultanan Melayu Johor, Laman Peringatan Sultan Abu Bakar, Laman Peringatan Penjajahan Jepun, Laman Peringatan Penentangan Komunis, Laman Peringatan Kedaulatan Raja-Raja Melayu, Laman Malaysia, Laman Peringatan Semarak Kemerdekaan, Padang Merdeka dan Persiaran Perarakan Kemerdekaan.

Taman Merdeka Johor Bahru membabitkan dua fasa pembinaan dan mengambil masa selama sembilan tahun untuk disiapkan dengan kos yang dianggarkan berjumlah RM13 juta, mula dibuka kepada orang ramai baru-baru ini.

Datuk Bandar, Mohd. Jaffar Awang berkata, taman rekreasi tersebut terletak di kawasan yang mudah dikunjungi orang ramai serta menjadi tempat yang strategik untuk melakukan aktiviti riadah.

“Setiap laman yang ada di taman ini ada konsep dan cerita yang hendak disampaikan kepada para pengunjung, setiap rekaan bangunan, senibina arca yang dibangunkan di sini bersesuaian dengan zaman tersebut.

“Konsep merdeka yang ditonjolkan di sini juga diolah melalui catatan sejarah, arca, gambar dan penerapan ciri-ciri reka bentuk yang memberi gambaran terperinci mengenai kisah kemerdekaan negara,” katanya.

Menurutnya, di tempat itu orang ramai dapat mengetahui keistimewaan taman tersebut bermula di Laman Peringatan Kesultanan Melayu yang menggambarkan mengenai kehidupan orang Melayu pada zaman sebelum ini.

Beliau berkata, Laman Sultan Abu Bakar pula menceritakan pembangunan di Johor yang turut dipengaruhi corak pemerintahan Inggeris dengan reka bentuk yang ada di situ bercirikan senibina Inggeris.

“Laman Peringatan Penjajahan Jepun pula merujuk kepada zaman kemasukan Jepun ke Tanah Melayu secara mendadak yang digambarkan dengan binaan kubu bagi menggambarkan pertahanan negara.

“Diikuti dengan era penentangan komunis yang memaparkan binaan dan persekitaran yang menyerupai pusat aktiviti dan persembunyian komunis yang berteraskan kepada serangan gerila,” ujarnya.

Keperitan dalam mempertahankan kedaulatan Tamah Melayu sebagai sebuah negara berdaulat diterjemahkan menerusi Laman Semarak Kemerdekaan bagi menggambarkan gabungan lapisan masyarakat yang berjuang untuk kemerdekaan negara.

Akhir sekali, pengunjung yang ke taman ini akan melalui Persiaran Perarakan Kemerdekaan yang merupakan laluan pejalan kaki, gambaran mengenai proses dilalui oleh Tanah Melayu untuk mencapai kemerdekaan, katanya.

“Pengisian taman ini lebih berbentuk simulasi kemerdekaan negara, sememangnya pendekatan terbaik untuk pengajaran bagi pelajar dalam menilai, memahami dan mengetahui sejarah negara.

“Taman Merdeka Johor Bahru ini bukan sahaja dilihat sebagai kawasan rekreasi, tetapi pada masa sama turut memberi manfaat sebagai kawasan informasi pendidikan khususnya kepada golongan pelajar,” katanya.
-utusan-

Nearby Location

Places of Interest
Name Distance Direction
Puteri Harbour Show Direction
Desaru Ostrich Farm Show Direction